Info Ibu Mengandung
http://infoibumengandung.blogspot.com

Jumpa di facebook

Jumaat, 31 Ogos 2012

Pengalaman bersalin secara pembedahan cesarean


Salam, hari ni masuk hari yang ke 15 selepas melahirkan anak yang ke dua. Kelahiran kali ini sebuah pengalaman bersalin yang penuh debaran. Nor tidak menjangka akan bersalin secara pembedahan cesarean.

Semuanya bermula pada minggu ke 36 kandungan apabila doktor mendapati bayi songsang 'flex breech'. Punggung bayi berada di bawah. Nor telah dirujuk ke hospital Kluang. Minggu ke 37, nor ke hospital Kluang. Doktor masih mendapati bayi songsang dan satu lagi risiko iaitu air ketuban banyak. Air ketuban banyak mungkin akan menyebabkan bayi terbelit tali pusat, kerana bayi mempunyai banyak ruang untuk bergerak. 2 risiko ini menyebabkan nor harus menjalani pembedahan dengan segera. Doktor di hospital Kluang telah menetapkan tarikh untuk nor menjalani pembedahan. Ops nor terpaksa menolak sebab bercadang ingin bersalin dan terus berpantang di Terengganu. Permohonan nor diterima dan nor dirujuk ke hospital kuala terengganu. Masa ni masih lagi dalam bulan ramadan, doktor siap warning lagi "jangan aktif sangat, jangan jalan kat bazaar ramadan. Saya jumpa, siap..." hehe.

Masuk minggu ke 38 kandungan, nor, suami dan anak sulung berangkat ke terengganu dari johor menaiki kereta. Huhu alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kami selamat sampai di rumah mertua, hari jumaat, malam. Terima kasih kepada encik suami kerana membawa kereta dengan penuh hati-hati. Hari sabtu, hari untuk berehat. Hari ahad, nor dan suami ke klinik berdekatan. Di terengganu, hari bekerja bermula pada hari ahad. Dari klinik, nor terus dirujuk ke hospital besar sultanah nur zahirah, kuala terengganu. Anak sulung kami hantar ke rumah bapa saudaranya, petang ahad nor dan suami terus ke HSNZ.

Dah sampai pun di HSNZ. Nor terus masuk ke bilik pendaftaran wad. Di sini, periksa berat, tekanan darah dan buka jalan. Nor dah buka 1cm. Alamak... batal puasa aku. Menurut doktor, anak ke dua dan seterusnya biasanya jalan dah buka awal. Ramainya ibu mengandung. Nor dapat masuk wad dalam pukul 7 petang kerana menunggu katil kosong. Dah masa berbuka. Nor dan suami berbuka di katil hospital. Selesai berbuka suami keluar dan tinggal la nor bersama ibu-ibu mengandung yang lain.

Jam 3.00 pagi, nor dikejutkan. Doktor nak periksa jantung baby. Nor masuk dalam sebuah bilik, wayar letak kat atas perut dan ada mesin yang akan membaca denyutan jantung baby dan ada kertas graf yang keluar. Lama juga nor dalam bilik, dekat 1 jam. Selepas itu, nor berjumpa doktor. Ada 2 orang doktor perempuan. Satu yang best kat sini, nor berurusan dengan semua doktor perempuan. Ada gak nampak doktor lelaki, mungkin bahagian ibu mengandung dan bersalin doktor perempuan yang uruskan. Dah berjumpa doktor, doktor ada beri 2 cadangan kepada nor. Disebabkan di HSNZ ada kemudahan dan doktor pakar untuk risiko breech, ini antara cadangannya. 1. Doktor boleh cuba pusingkan baby agar beralih ke kedudukan normal. Air ketuban nor banyak. Agak mudah nak alihkan kedudukan baby. Tetapi ada risiko baby pusing semula ke kedudukan asal dan terbelit tali pusat. Waa... Dengar risiko nor tak berani nak pusing baby. 2. Bersalin normal melalui vagina dalam keadaan baby breech. Risiko pun ada, jika baby tidak berjaya dikeluarkan melalui vagina. Nor akan menjalani pembedahan kecemasan. Kemungkinan juga tali pusat boleh keluar terlebih dahulu kerana air ketuban banyak. Risiko untuk baby. Aduhai cara ni pun nor tak berani nak cuba. Akhirnya nor tetap dengan pilihan asal, pembedahan untuk breech baby. Katakan baby beralih ke kedudukan normal pada saat-saat akhir, nor bersedia untuk bersalin normal. Membebel juga doktor tu sebab nor tak nak cuba cadangan yang diberikan.

Jam 9 pagi, nor tandatangan surat bedah dan pindah darah. Jarum tempat masuk ubat dicucuk kat tangan nor dan doktor ambil darah . Kemudian nor berjumpa doktor bius dan tandatangan surat bius. Dalam hati nor berdebar sangat. Tetapi ada 2 orang ibu yang turut menjalani pembedahan serba sedikit menenangkan nor. Masing-masing memberitahu pembedahan tidak menyakitkan kerana mereka pernah menjalani pembedahan sebelum ini. Nor akan dibedah pada esok hari. Disebabkan nor tiada kecemasan, nama nor adalah yang terakhir untuk cesarean pada sesi pagi. Bermula jam 2 pagi nor harus berpuasa. Pada hari ni suami bersama ibu mertua melawat nor. Suami turut membawa air kelapa muda kegemaran nor sepanjang mengandung. Mereka turut menemani nor keesokan harinya. Tq :).

Keesokan pagi nor mula menghitung jam. Pagi-pagi lagi dah ada kes kecemasan di bilik pembedahan. Nampaknya giliran nor dah berubah. Ibu-ibu lain ada memberi kata-kata semangat kepada nor. Mungkin nampak muka nor macam nervous je. Hehe. Mula-mula memang berdebar tetapi lama kelamaan bila dah tengok ibu-ibu yang telah menjalani pembedahan, dan tengok dia orang ok jer. Rasa berdebar dah kurang, disamping kata-kata semangat daripada ibu-ibu lain, ibu mertua, suami, ibu nor dan kawan-kawan. Di sini, wad ibu mengandung dan ibu yang telah bersalin diletak di wad yang sama.

Akhirnya masa yang ditunggu pun tiba. Nor merupakan ibu yang terakhir dimasukkan ke dalam bilik bedah untuk sesi petang. Rupanya ada beberapa kes kecemasan sebelum itu. Lebih kurang jam 2.30pm nor dipanggil masuk ke bilik pembedahan. Misi memakaikan baju pembedahan untuk nor. Baju terbuka sikit bahagian belakang dan skaf. Nor dibaringkan dikatil beroda, dimasukkan air, masuk ubat, dan minum air berasa masam dan sejuk untuk tahan muntah. Nor sempat bersalam minta maaf dengan suami dan ibu mertua. Katil ditolak ke bilik pembedahan. Suami dapat hantar setakat pintu bilik, tidak dibenarkan masuk.

Tiba di bilik pembedahan nor dipindahkan ke katil bedah. Doktor bedah belum sampai lagi. Doktor dan misi lain semua dah ada. Memandangkan tak lama lagi raya, mereka bersembang mengenai kuih raya di bilik bedah. Siap jual beli lagi. Santai sungguh. Tak lama selepas itu, doktor bedah pun masuk. Ada catatan yang dibuat di whiteboard. Nor disuruh duduk dan peluk bantal. Belakang nor dibuka dan terasa cecair sejuk disapu di belakang badan. Kemudian 3 suntikan terasa di belakang badan. Suntikan ni adalah ubat bius, nor dibius separuh badan. Bius di bahagian bawah sahaja. Bahagian atas nor sedar. Terdapat kain digantung di hadapan nor agar nor tidak dapat melihat pembedahan yang dijalankan. Nor kemudian dibaringkan, kedua-dua belah tangan nor dibuka ke sisi. Ada macam-macam wayar kat tangan dan badan. Seorang misi berada bersama nor dan berbual dengan nor. Dia menyuruh nor tidur. Tapi tak dapat tidur. Sambil berbual nor terdengar bunyi macam gunting, pisau disusun. Kemudian terasa bahagian atas perut bergerak. Mulanya nor ingat doktor yang pegang perut, rupanya doktor sedang keluarkan baby. Tak lama selepas itu, terdengar tangisan bayi. Eh macam sekejap jer dan memang tiada rasa sakit atau rasa apa-apa. Nor meminta untuk mencium baby dan menyusukannya. Kedua-dua tangan nor tak boleh bergerak. Baby dah dibersihkan, misi menunjukkan jantina baby. Nor melahirkan seorang baby perempuan. Nor berpeluang mencium baby dan terus menyusukannya. Terima kasih misi. Nor mula dibedah pada jam 02.57pm, baby selamat dikeluarkan pada jam 03.04pm dan pembedahan selesai pada 03.24pm. Segalanya berlaku dalam tempoh setengah jam. Bagi nor, tak terasa masa berada di bilik pembedahan. Pantasnya masa berlalu. Baby perempuan yang comel telah menjadi salah seorang ahli keluarga kami.

Cukup setakat ini dahulu cerita nor. Pengalaman bersalin secara cesarean yang amat berharga. Bayi perempuan seberat 2.98kg nor dan suami namakan nur aneeqa munirra.


Rabu, 29 Ogos 2012

Makanan dalam pantang selepas bersalin secara pembedahan caesarean


Salam, nor masih lagi dalam pantang. Menu berpantang kali ni lain sikit.

Menu pagi : Milo, oat, roti, kurma
Menu tengah hari : Air kosong, nasi putih, sawi rebus, ikan bakar.
Menu petang : Milo, oat, roti, kurma.
Menu malam : Air kosong, nasi putih, sawi rebus, ikan bakar.
Menu lapar tengah malam : Milo, kurma.


hehe, ini lah menu nor sepanjang berpantang. :).


Khamis, 9 Ogos 2012

Kebaikan sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi sebaik sahaja bayi dilahirkan


Salam, nor turut merasai pengalaman ini untuk anak yang pertama.  Sebaik sahaja baby dilahirkan, baby dibersihkan dan nor meminta untuk melihat dan memegang baby (baby tanpa diselimuti apa-apa).  Nor sempat menyentuh dan memeluk baby untuk beberapa minit.  Jururawat bertanya kepada nor, apa jantina bayi?  Nor jawab : bayi perempuan :). 

Terdapat beberapa kebaikan jika sentuhan kulit ke kulit boleh dibuat sebaik sahaja bayi dilahirkan antaranya :

1. Bayi akan mendapat suhu yang hangat kerana kulit ibu bersuhu hangat.
2. Bayi kurang menangis.
3. Bayi berpeluang menyusu pada jam pertamanya (bagi yang dah ada susu).
4. Bayi lebih gembira.
5. Bayi pra matang yang tiada masalah pernafasan akan lebih stabil.
6. Bayi belajar menyusu dengan cepat.
7. Kesakitan ibu akan berkurangan bila dapat menyentuh bayi.
8. Bayi mempunyai suhu badan yang normal.
9. Bayi bakal menyusu eklusif lebih lama.
10. Degupan jantung dan tekanan darah bayi lebih stabil.
11. Bayi dapat bernafas dengan normal.
12. Bayi dapat mendengar degup jantung ibu.



Kepada bakal menimang cahaya mata, anda juga berpeluang merasi pengalaman sentuhan kulit ke kulit.  Suarakan keinginan anda kepada doktor atau sesiapa sahaja yang menyambut kelahiran bayi anda.  Sentuhan pertama yang amat bermakna :).

Sumber :
http://www.naturalchild.org/guest/jack_newman2.html
http://pregnancy.about.com/od/caringforyourbaby/a/6-Reasons-To-Be-Skin-To-Skin-With-Baby-After-Birth.htm




Sabtu, 4 Ogos 2012

Apa yang perlu dibuat bila mengetahui bayi songsang


Salam, kali ini nor nak berkongsi pengalaman nor mengandungkan bayi songsang. 
Kedudukan bayi songsang disedari bila kandungan memasuki 36 minggu.  Kedudukan songsang kepala di atas dan kaki rapat di bawah. Dapat rasa kepala baby di bahagian atas perut.  Melalui pembacaan dan pengalaman ibu-ibu yang pernah mengandung sebelum ini, terdapat beberapa persediaan diperlukan untuk ibu mengandung.

1. Berkemungkinan besar bayi yang bakal dilahirkan menggunakan kaedah pembedahan caesarean.

2. Lakukan senaman yang boleh menukar kedudukan bayi songsang ke kedudukan normal secara semula jadi. (Digalakkan bersujud lama bagi yang islam)

3. Kemas rumah awal-awal sebab selepas pembedahan dijangkakan proses sembuh mengambil masa yang agak lama.

4. Jika ada anak yang lain, bersedialah untuk menerima pertolongan orang lain untuk menguruskan anak yang lain.  Tumpukan kepada anak yang baru lahir. 

5. Proses sembuh mungkin lebih lama, sama ada melahir secara bedah atau secara normal.  Kelahiran secara normal untuk bayi songsang akan menyebabkan koyak yang lebih besar di bahagian vagina.

6. Bersalin secara berjadual lebih kurang risiko kepada ibu dan bayi kerana persediaan telah dibuat awal.  Tetapi berkemungkinan bayi belum cukup matang bila dilahirkan.

7. Bersalin sehingga nampak tanda-tanda bersalin seperti kontraksi yang kerap atau pecah ketuban.  Berisiko kepada ibu dan bayi kerana persediaan kecemasan terpaksa dibuat, tetapi pada masa ini bayi turut merasa proses bersalin secara semulajadi.

8. Selalu berkomunikasi dengan bayi dalam kandungan agar kelahiran berjalan dengan lancar.

9. Bersedia juga berkemungkinan bayi akan bertukar ke kedudukan normal di saat-saat akhir hendak bersalin.  Pada masa ini, pilihan bersalin normal adalah yang terbaik jika tiada risiko lain.

Ada yang menggunakan kaedah komunikasi dengan bayi untuk menukar kedudukan bayi.  Bagi nor sendiri, antara yang nor selalu katakan pada baby nor 'beradalah pada kedudukan yang baby paling selesa, semoga kelahiran baby nanti berjalan lancar, tidak menyakitkan baby dan ummi'.


Semoga kelahiran kali ini berjalan dengan lancar.



-

Dapatkan post terkini melalui email

Google+ Followers